BeliawanisTarbiahTerkiniUtama

Ramadan istimewa untuk umat terpilih!

Mengapakah Ramadhan hanya istimewa kepada umat Muhammad?

Mengapakah Ramadhan hanya istimewa kepada umat Muhammad?
Mengapa pula Rasulullah meminta bulan Ramadhan dipanjangkan untuk umat Baginda?

Setinggi-tinggi syukur sepatutnya kita panjatkan kepada Allah kerana kita dilahirkan menjadi umat Nabi Muhammad, umat idaman rasul-rasul lain. Bertambah lagi syukur kita dengan nikmat kurniaan bulan mulia, Ramadhan kepada kita kerana tempoh hidup kita tidak sepanjang umat terdahulu.

Malam lailatul qadr iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan di mana setiap amalan yang dilaksanakan pada malam itu umpama amalan yang dilakukan pada seribu bulan. Nikmat lailatul qadr kurniaan Allah di bulan ini menunjukkan kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Oleh itu, peluang di setiap malam di bulan Ramadan untuk beribadat kepada Allah, dan mencari malam lailatul qadr itu seharusnya direbut. Sesungguhnya peluang untuk beribadah ini bukan bertujuan untuk menandingi amalan umat terdahulu malah untuk membina kembali peribadi seseorang menjadi seorang mukmin dan muslim yang beriman.

Untuk menjadi seorang mukmin, tiga perkara harus diperbaiki iaitu akidah, ibadah dan akhlak. Kita hendaklah mengambil peluang di bulan Ramadan ini untuk memperbaiki akidah, ibadah dan akhlak kita dengan menambah ilmu pengetahuan dan sentiasa memohon doa kepada Allah agar diampunkan segala dosa-dosa kita sepanjang hidup di muka bumi ini.

Peluang bertemu dengan Ramadan kali ini perlu dimanfaatkan sebaiknya seumpama Ramadan ini adalah Ramadan terakhir buat kita, kerana tiada jaminan kita dapat menyambut kunjungan Ramadhan di masa akan datang. Sesungguhnya, ajal maut itu rahsia milik Allah.

Perbanyakkan berdoa kepada Allah kerana doa itu adalah komunikasi hamba dengan Tuhannya. Allah tidak pernah mengabaikan doa hamba-Nya, malah menyukai dan tidak pernah jemu dengan hamba yang bersungguh-sungguh mendekatinya.

Manfaatkanlah lima waktu mustajab untuk berdoa dalam bulan Ramadan ini:
1. Sebelum masuknya waktu subuh – gunakan masa sahur tu untuk berdoa kepada Allah
2. Selepas solat fardu
3. Sebelum berbuka puasa – disunatkan untuk duduk di hadapan juadah berbuka sambil berdoa supaya tidak melewat-lewatkan berbuka puasa
4. Ketika berada di majlis ilmu – majlis ilmu diumpamakan seperti taman-taman syurga oleh itu berdoa di majlis ilmu umpama berdoa di syurga, setiap langkah menuju majlis ilmu juga akan dinilai sebagai pahala di sisi Allah.
5. Waktu di antara solat terawih

Selain berdoa, antara beberapa cara untuk menjadikan puasa kita puasa yang terbaik dan tidak sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja adalah dengan menjaga pandangan mata daripada melihat perkara-perkara yang tercela. Selain menundukkan pandangan terhadap pasangan berlainan jantina, masa yang terluang dengan menonton televisyen atau video-video yang tidak bermanfaat itu lebih baik jika diluangkan untuk membaca al-Quran atau menghadiri majlis ilmu.

Kedua, hendaklah kita menjaga lidah daripada menyebut perkataan yang tercela atau sia-sia, termasuk jugalah menghindar diri dari perbualan di media sosial yang sia-sia atau yang boleh mengundang perbalahan. Lebih-lebih lagi yang bertujuan untuk menyakitkan hati orang lain.

Ketiga, menahan pendengaran daripada mendengar perkara-perkara lagha ataupun yang mengandungi maksiat. Misalnya mendengar lagu-lagu barat mahupun lagu raya yang boleh menghilangkan semangat kita di bulan Ramadan. Semua itu lebih baik digantikan dengan mendengar bacaan al-quran kerana mendengar bacaan al-quran selain memperoleh pahala ia juga dapat melembutkan hati dan fikiran.

Seterusnya, menahan anggota tubuh badan daripada membuat dosa terutama tangan dan kaki. Tangan dan kaki harus dikawal agar tidak memilih untuk membuat sesuatu perbuatan atau menuju ke tempat yang melaghakan atau penuh maksiat. Bahagian tubuh yang lain seperti perut hendaklah dipelihara daripada makanan yang syubhah dan kurang baik untuk kesihatan. Kita digalakkan untuk memilih makanan yang baik dan berkhasiat. Kita juga digalakkan untuk berkongsi dengan orang lain atau bertukar-tukar makanan kerana akan dikurniakan pahala bagi setiap makanan yang dimakan untuk berbuka puasa.

Akhir sekali, janganlah berlebih-lebihan makan diwaktu berbuka. Contohilah Rasulullah yang hanya berbuka dengan sebiji kurma dan segelas air lalu terus menunaikan solat maghrib. Elakkanlah terlalu lama berbuka puasa sehingga melewat-lewatkan solat maghrib. Nafsu makan haruslah dikawal kerana tujuan berpuasa di bulan Ramadan juga adalah untuk mengurangkan makan bagi menjaga kesihatan tubuh badan. Marilah tinggalkan kebiasaan dan praktikkan kelima-lima cara ini untuk menjadikan puasa kita lebih baik dari puasa sebelumnya dan semoga setiap usaha kita ke arah menjadi seorang mukmin ini dinilai Allah.

Nur Kamilah Samsudin
Bendahari, ISMA New South Wales

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.