BeritaTarbiahTerkiniUtama

‘Ke manakah Ramadhan kita?’

“Celakalah orang yang menjumpai Ramadhan lalu tidak diampuni!”

“Amin”

Itulah perbualan Malaikat Jibril AS dan Nabi Muhammad SAW semasa baginda melangkahkan kakinya menaiki mimbar pada satu hari. Doa ini bukan satu doa yang boleh diambil mudah oleh kita semua. Bukan satu perkara kecil apabila ungkapan “celaka” diucapkan oleh baginda.

Namun persoalannya, bagaimanakah caranya untuk kita pastikan puasa kita diterima? Apakah terdapat apa-apa ‘checklist’ yang boleh kita tick, dan seterusnya menandakan diterimanya Ramadhan kita?

Jawapan kepada persoalan-persoalan ini hanya mampu penulis jawab dengan satu hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari; “dari Abu Hurairah, langsung dari Baginda Rasulullah SAW, bahawa Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, sebab puasa hanyalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran padanya secara langsung.”

Walaubagaimanapun, tidak mustahil untuk kita menggariskan beberapa ‘point’ yang penting sebagai timbangtara mudah, untuk kita bermuhasabah apakah Ramadhan ini mempunyai makna buat kita selepas sebulan berpuasa. Maka penulis memberikan tiga gambaran kasar yang boleh kita perhalusi dengan amalan peribadi, dan kemudian kita nilai apakah status Ramadhan kita tahun ini.

1. Ramadhan merupakan bulan penyucian. Gambarannya ialah ibarat kita membasuh pakaian (baca: diri) menggunakan mesin basuh (baca: Ramadhan). Kita letakkan sabun (baca: puasa) dan pewangi (baca: amalan sunat). Seusai mesin membasuh, kita akan expect baju kita putih bersih dan berbau wangi. Begitu jugalah kita dalam bulan Ramadhan. Terlalu banyak hadis-hadis yang membincangkan fadhilat Ramadhan yang mampu membersihkan dosa-dosa kita. Ingin penulis bawakan satu hadis yang agak popular:
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka diampunkan dosanya yang lalu.” (Muttafaqun ‘alaih)
Oleh itu, tak banyak pun yang perlu kita lakukan untuk diampunkan dosa-dosa yang lampau. Hanya berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan, namun percayalah tidak semua mampu. Maka gambaran pertama, kalau kita ibarat baju yang bersih dan wangi selepas dibasuh, percayalah InsyaAllah Ramadhan kita diterima Allah.

2. Ramadhan merupakan bulan penghijrahan. Gambarannya ialah ibarat kita sedang berhijrah dari Kuala Lumpur (baca: keburukan) ke Perlis (baca: kebaikan), kerana ditukarkan tempat kerja (baca: tujuan/niat). Kita akan dikatakan berjaya berhijrah apabila kita tiba di Perlis, bukannya berjaya apabila kita masih di Kuala Lumpur ataupun sampai di Perak namun berpatah balik ke Kuala Lumpur. Begitu jugalah kita dalam bulan Ramadhan. Bulan ini mampu menjadi minyak yang menggerakkan enjin diri kita untuk berhijrah dari amalan buruk ke amalan yang baik. Namun percayalah, tidak ramai yang hijrahnya, sampai ke destinasi. Kenapa? Kerana satu hadis ahad masyhur yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
“Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan bergantung pada niatnya. Dan setiap orang akan mendapatkan apa yang diniatnya.”
Oleh itu, sekiranya kita berpuasa dan berhijrah kerana Allah dan mengharapkan dijauhkan dari azab api neraka, maka itulah yang akan kita dapatkan. Tetapi, kalau kita berpuasa dan berhijrah di bulan Ramadhan ini hanyalah kerana Ramadhan, maka penulis yakin lagi percaya, bahawa selepas habisnya Ramadhan, kita akan akan kembali kepada maksiat pada Hari Raya pertama.

3. Ramadhan merupakan bulan pentarbiyahan. Gambarannya ialah ibarat kita ke sekolah (baca: Ramadhan) untuk belajar matematik. Selepas kita keluar sekolah, kita sepatutnya tahu bahawa 1+1 ialah 2 (baca: baik) dan 2×5 bukannya 13 (baca: buruk). Begitu jugalah kita sebelum, semasa dan selepas melalui Ramadhan. Bulan yang dikatakan sebagai ‘Universiti Tarbiyah’ ini, sepatutnya membentuk kita untuk tahu membezakan apa yang baik dan apa yang buruk. Amalkan yang makruf dan buangkan yang munkar. Namun, akan ada sesetegah di antara kita hanya ‘cuba’ untuk mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadhan, hanya ‘cuba’ melazimi solat berjemaah di masjid selama sebulan dan hanya ‘cuba’ meningkatkan amalan sunat di bulan mulia ini. Ketahuilah, sesungguhnya para ulama salaf ramai berkata:
“Sesungguhnya diantara amalan diterimanya kebaikan, adalah sebaikan selanjutnya.”
Oleh itu, seharusnya kita memperbanyakkan lagi kebaikan selepas kita mengharungi pentarbiyahan Ramadhan selama sebulan. Kita beramal bukannya kerana Ramadhan, tetapi kerana Allah. Ataupun tidak? Maka gambaran ketiga, sekiranya kita masih meneruskan beramal kebaikan selepas Ramadhan, InsyaAllah Ramadhan kita diterima Allah.

Itulah tiga gambaran mudah yang boleh penulis kongsikan kepada semua. Perlu semua ingat bahawa penulis hanyalah manusia biasa yang mempunyai limitasi akal manusiawi. Oleh itu, semua ini hanyalah satu garis panduan peribadi yang ingin dikongsikan, dan boleh diterima mahupun diperbaiki.

“Rabbana taqabbal minna, innaka anta as-sami’ al-‘alim”
Ya Allah, terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Nik F Haikal
29 Ramadhan 1439
Melbourne, Australia.

 

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.